salam
Dengarkanlah. Dengarkanlah suara hatiku ini.
Bukanlah niat hati untuk mencari perang atau meminta simpati. Cuma hati ini terlalu bimbang melihat keadaanmu dewasa ini. Saban hari bertambah parah.
Hati manakah yang tidak sayu melihatmu begitu andai empunya diri ini jua memiliki kakak dan adik yang sejiwa denganmu. Jiwa yang begitu halus. Tempat yang bersarang naluri keibuan.
"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai (perintah) Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (At-Tahrim : 6)
Pakaian adalah lambang keperibadian akhlak. Setuju? Lantas apakah yang mendorong engkau masih memakai pakaian ahli maksiat? Kelak kerana pakaian itu engkau akan dihumban ke neraka!
Aku tahu, jauh di sudut hatimu, ingin benar kau menjadi muslimah yang solehah. Ia tersemat kukuh. Kerana itulah fitrah. Fitrah yang suci. Fitrah yang indah.
"Hadapkanlah wajahmu dengan lurus pada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ar-Rum:30)
Sungguh indah fitrah itu. Madu iman meyelaputinya.
Kembalilah kepada fitrah Islam, pasti engkau dapat merasai manisnya madu iman itu. Ya, amat manis. Tapi ia hanyalah dikhaskan kepada yang benar-benar berusaha untuk mendapatkannya. Aku tahu, untuk kembali kepada fitrah itu terlalu banyak besi halangan dan paku keperitan. Benarlah sabda Nabi Muhammad saw :
"Neraka itu dikelilingi oleh kesenangan, dan syurga itu dikelilingi oleh kesukaran." (HR Bukhari dan Muslim)
Namun tiada alasan untuk kita tidak kembali membersihkan segala noda dan titik hitam dalam hati andai kita benar-benar inginkan. Hendak seribu daya.
Terkadang aku pelik. Tudungmu sudah elok, menutup segala rambutmu. Namun jelek dan pelik bila engkau pakaikan baju yang berlengan pendek. Lagi malang baju adikmu yang kau sarungkan pada badanmu. Bila ditanya, inilah fesyen terkini jawabnya. Namun aku cabar jawapan ini lah yang akan engkau berikan di hadapan Allah nanti. Adakah masih diberi kekuatan untuk menuturkannya sedemikian rupa?
Mengertilah. Aurat itu bukan hanya terletak pada rambut. Namun pada seluruh anggotamu kecuali tapak tangan dan mukamu. Aku yakin engkau sudah tahu cuma tidak mahu mengerti. Mengapa begini? Bukankah kau ingin kembali kepada fitrah?
"Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." (Surah al-Nur: 31)
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Ahzab : 59)
Terkadang aku terdengar kau merungut. Merungut kerana auratmu terlalu berat berbanding aurat lelaki bagimu. Usah begitu. Sebaliknya kau harus berbangga kerana engkau adalah ibarat permata yang tidak ternilai harganya. Lantas kerana itulah engkau dijaga rapi tanpa calar.
Apakah kau tidak melihat wanita barat yang hilang ketamadunan dan maruah serta malu angkara tidak dijaga oleh agama mereka. Mereka umpama batu hitam penuh debu di jalanan yang boleh dikutip dan dibuang sesuka hati. Aku pasti engkau tidak mahu begitu.
"Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah." (HR. Muslim, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad)
Aku menyeru dengan seruan sayang dan kasih sebagai adik atau abangmu, marilah sama-sama kita kembali kepada fitrah. Singkirkan segala pakaian ahli maksiat dan pakaikan pakaian solehah.
Moga Allah memberi kekuatan untuk kembali kepada fitrah. Rapatlah dengan-Nya, pasti kekuatan itu timbul tanpa dipinta. Aku menyeru dan menasihati diriku terlebih dahulu.
Buatlah pilihan tekad. Mulakan dengan dirimu. Pasti sahabatmu yang lain mengikutimu. Walau pada awal mereka kelihatan menentang atau tidak suka perubahanmu namun, hatinya juga seperti hatimu. Ingin jua menjadi muslimah sejati. Hanya kekuatan belum muncul.
Ayuh, tanggalkan segala pakaian ahli neraka itu. Pakaikanlah pakaian fitrah. Pakaian ahli syurga. Tutuplah auratmu. Rapatlah dengan-Nya. InsyaAllah Dia akan membantu merealisasikan hasratmu itu.
p/s: KECANTIKAN SEORANG WANITA ITU TIDAK TERLETAK PADA RAUT WAJAHNYA TETAPI TERLETAK PADA SIFAT MALUNYA..(HADIS)
* diambil daripada iluvislam....wasalam
0 komen Geng Comel:
Post a Comment