Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca budiman sekalian. Syukur sebanyak-banyaknya kerana ALLAH masih meminjamkan segala nikmat yang kita ada. Sungguh, tiada yang sempurna melainkan ALLAH.
Pada hari ini, terdetik di hati kecil ini untuk berkongsi sebuah artikel yang sy baca sebelum ini apabila sejak akhir-akhir ini, banyak sahabat sy yg membicarakn beberapa isu yang dapat sy simpulkan sebagai fitrah. Artikel ini berbaur cinta, motivasi dan perkahwinan. Tapi, percayalah bahawa artikel ini sebenarnya telah membantu saya untuk membuka kotak pemikiran sy yang terlalu sempit.
Saya harap, selepas para pembaca membaca artikel ini.. sedikit banyak dapat menyuntik motivasi di dalam diri. Sejujurnya, saya sudah berulang kali membaca artikel ini tanpa jemu. Pada awalnya agak malas untuk baca kerana terlalu panjang berjela. Apabila saya mula membacanya, perasaan seronok itu muncul. Fitrah manusia yang sukakan keseronokan dan kebaikan. InsyaALLAH, jika diselami baik-baik pasti menenangkan dan memotivasikan.
Selamat membaca. :)
” saya nak tanya sikit. macam mana nak tangani
perasaan nak bercinta ni ye.. kahwin lambat lagi, mak saya kata tunggu habis
belajar.. saya pun tak fikir pasal kahwin, tapi perasaan ni datang..”
Seorang sahabat berpangkat adik mengadu rasa baru-baru
ini. Saya berfikir sejenak. Soal fitrah, bukan boleh disekat. Itu respon
pertama saya.
Sebenarnya, ramai remaja keliru tika didatangi perasaan
tersebut. Sebahagian mereka menyalahkan diri sendiri dan berusaha mencampakkan
fitrah tersebut jauh-jauh. Fitrah yang mengusik jiwa itu dianggap sebagai
parasit yang bisa ‘merosakkan’ cita-cita dan masa depan. Saya kurang bersetuju.
Lalu saya rumuskan satu panduan kepada sahabat tersebut.
Soal fitrah sukakan berlainan jantina, itu normal. Hadirnya waktu ini, juga
suatu yang normal. Yang tidak normal, sukakan sesama jantina. Maka, usah hukum
diri sendiri sebaliknya ambillah perasaan tersebut sebagai motivasi.
Ketika anda didatangi perasaan tersebut, anda bayangkan
perkahwinan sebagai suatu yang berbaur mustahil. Ini silap. Jangan anggap
perkahwinan itu sebagai ‘terlampau jauh’ sehingga anda tidak mahu
memikirkannya. Perkahwinan itu soal jodoh, ia kerja mutlak Sang Penguasa ;
Allah. Sebagai manusia yang beriman dengan takdir tersebut, kita jahil tentang
bila masanya dan siapa orangnya. Maka apa yang ada pada kita adalah usaha. Dan
usaha itu, perlu dimulakan dari sekarang.
Dengan hadirnya perasaan bernama fitrah itu, ubahlah diri
dan pemikiran anda untuk maju setapak. Anda bakal bergelar pemimpin kepada
sebuah keluarga. Anda bakal naik ke jawatan suami melalui AGM yang
dipengerusikan Tok Kadi. Itu suatu benda yang besar. Maka, benda sebesar itu
perlukan persiapan dari sekarang. Tak kanlah rancangan kahwin nanti habis belajar,
maka berfikir dan bersedia ke arah perkahwinan baru akan bermula selepas habis
belajar?
Tidak. Segalanya bermula di sini dan hari ini. Tingkatkan
pengetahuan dan bahan bacaan. Ubah personaliti diri. Bina daya kepimpinan. Maju
setapak ke depan dengan berusaha keras menjadi seorang pemuda yang matang. Di
samping pengajian di bilik kuliah, pengajian sampingan ke arah Bait Muslim itu
perlu turut sama digiatkan.
Sedar atau tidak, anda sedang bergerak ke arah
perkahwinan yang cemerlang. Melalui apa? Melalui tindakan bijak anda meraikan
fitrah. Bukan hanyut dalam arus fitnah. Anda tidak akan menjadi seorang yang
kuat berangan, leka bermain cinta, termenung siang malam dan hilang fokus pada
pelajaran. Semuanya kerana sebuah fitrah yang menyuntik motivasi.
GANGGUAN?
Kita perlu mengubah minda dan tanggapan kita pada hal
ehwal cinta, jodoh dan perkahwinan.
Kalau kita aktif dengan kerja dakwah di kampus, jangan
jadikan rak buku kita hanya penuh dengan buku-buku gerakan dakwah tarbiyah
semata-mata. Isikan juga dengan bahan bacaan tentang Baitul Muslim. Petua
membina rumahtangga bahagia, panduan menangani konflik rumahtangga, pengurusan
ekonomi keluarga, persoalan haid, nifas dan istihadhah, kesemuanya adalah
bacaan wajib bagi anda. Kenapa perlu ada diskriminasi?
Ramai orang beranggapan semua perkara berkaitan
rumahtangga sewaktu di alam belajar, adalah gangguan kepada pelajaran. Ini
silap. Pemikiran sebegini cenderung menjadikan remaja lambat matang dan tidak
berjiwa besar. Mereka seolah ‘dilalaikan’ dengan pembelajaran bersijil
semata-mata, tanpa dititikberatkan nilai tambah yang lain. Pada mereka,
perkahwinan itu lambat lagi. Sekarang fikir belajar dahulu.
Maka ketika didatangi fitrah dan perasaan inginkan teman
hidup, mereka mula menggelabah. Terdesak kerana tidak nampak jalan yang
‘halal’, maka perhubungan jalan belakang menjadi pilihan. Mak ayah tidak tahu
dan pembelajaran juga dianggap ‘selamat’. Mabuklah mereka dengan ucapan-ucapan
kasih, rindu dan sayang. Lekalah mereka dengan keluar berduaan yang akhirnya menjebakkan
diri mereka ke kancah nafsu yang hina lagi menghinakan.
Dalam masa yang sama, adakah soal menjadi pemimpin kepada
keluarga, membina keluarga bahagia dan menuju perkahwinan yang cemerlang
menjadi tumpuan dan fokus utama? Tidak. Mereka hanya leka bermain cinta,
sedikit pun tiada suntikan motivasi.
Sebahagian besarnya tewas di tengah jalan, lantas
menanggung penyesalan yang tidak berkesudahan.
MULIA
Ingatlah teman. Fitrah itu tidak pernah menjadikan anda
hina. Fitrah itu secara dasarnya bertujuan untuk memuliakan anda sebagai anak
adam.
Firman Allah ta’ala : ” Dan sesungguhnya telah kami
muliakan Bani Adam..”
Tilik kembali ke dalam diri anda. Jika perkahwinan itu
masih jauh dari perancangan anda, saya tidak mengajak anda supaya menjadikannya
lebih cepat. Saya cuma mengajak anda mengubah cara fikir, dengan menjadikan
perkahwinan itu sebagai suatu yang sedang mampir. Bererti, anda sedang menuju
ke arahnya.
Maka, jika anda sedar hakikat tersebut, anda akan terus
berusaha dari sekarang.
Contoh :
3 tahun lagi untuk berkahwin. Maka dalam buku perancangan
anda, segera ditulis. Tahun pertama, ingin hadam buku motivasi berkaitan nilai
komunikasi positif dalam rumahtangga. Juga buku penting berjudul ‘Men Are From
Mars, Women Are From Venus’. Tahun kedua pula, kajian tentang pengurusan
ekonomi keluarga beserta elemen tarbiyah asas suami dan isteri. Tahun ketiga
pula, kitab Tarbiyatul Awlad ( Pendidikan Anak-anak ) akan diperhalusi dengan
teliti.
Melihat kembali apa yang anda tulis, anda akan dapati
bahawa masa yang anda ada sangat singkat!
Tidak ada banyak masa untuk masih leka dengan dunia
‘ulala’ budak-budak muda. Tidak banyak masa untuk membaca komik dan bermain
games. Tidak ada banyak masa untuk mengorat si Timah dan si Minah. Tidak ada
banyak masa untuk melayan perasaan syok kepada pelakon drama Korea!
MOTIVASI
Percayalah, anda akan berubah menjadi seorang yang penuh
dengan motivasi dan ‘mimpi-mimpi’ yang bersedia untuk dijadikan realiti.
Anda beruntung jika masih muda dan perkahwinan masih jauh dalam perancangan
anda, kerana anda akan punya banyak masa untuk bersedia.
Jika anda sedar dan faham apa yang cuba saya sampaikan
dalam entri ini, maka jangan ragu-ragu untuk berubah.
Asingkan diri anda dari kehidupan ‘biasa’ orang-orang
bujang, kepada kehidupan ‘luar biasa’ orang-orang bujang.
Anda akan menjadi orang bujang yang rajin, kemas, matang
dan positif sebagai ganti kepada orang bujang yang pemalas, selekeh,
kebudak-budakan dan negatif.
InsyaAllah, jika anda sanggup mengambil fitrah itu
sebagai Motivasi.
Sumber: my.ilham.com
0 komen Geng Comel:
Post a Comment